.

Kehamilan. Berpantang. Penyusuan susu ibu. Keibubapaan. Kesihatan. Kecantikan

Friday, 22 March 2013

Bolehkah mengambil habbatussauda semasa mengandung?


Biarpun umum mengetahui kebaikan mengamalkan habbatussauda, bolehkah habbatussauda diamalkan semasa mengandung?

Kajian mendapati antara ciri-ciri habbatussauda ialah merangsang pengecutan rahim. Penggunaan habbatussauda pada dos yang tinggi atau amalan berterusan boleh mengakibatkan keguguran atau kelahiran pramatang. Atas faktor itu, penggunaan habbatussauda adalah kurang digalakkan di kalangan wanita yang mengandung atau yang merancang untuk hamil. 

Disebabkan ciri ini jugalah, terdapat produk yang menggunakan khasiat ini untuk memudahkan bersalin, antaranya ialah Bio Selusuh keluaran Biodex. Oleh kerana itu juga antara precaution untuk menggunakan Bio Selusuh ini adalah penggunaannya hanya setelah kandungan melebihi 37 minggu dan ke atas.

Walau bagaimanapun, penggunaan habbatussauda adalah digalakkan bagi ibu selepas bersalin kerana cirinya yang menggalakkan pengecutan rahim. Khasiat lain bagi ibu juga ialah habbatussauda didapati merangsang penghasilan susu badan yang penting di kalangan ibu yang ingin menyusukan bayi mereka secara eksklusif.

Selain itu juga, habbatussauda didapati dapat meningkatkan hemoglobin darah dan ciri ini amat berguna kepada ibu hamil yang biasanya mengalami paras hemoglobin darah yang rendah. Melalui pendapat di ruangan forum di internet dan blog, terdapat pendapat di kalangan ibu-ibu yang telah menggunakannya dalam dos yang kecil pada minggu-minggu terakhir kehamilan terutama selepas kandungan berusia minggu ke-36 mendapati ada kesan peningkatan yang ketara dalam paras hemoglobin darah mereka. Walau bagaimanapun, tiada kajian saintifik yang khusus yang dilakukan ke atas mereka melainkan melalui pengalaman peribadi mereka sahaja. Selain itu, terdapat juga persoalan iaitu saiz dos yang boleh dianggap kecil, sederhana atau besar bagi ibu mengandung adalah masih lagi tidak dapat dipastikan.

Di sebalik pendapat tersebut, perlu diingatkan bahawa beza minggu kandungan sama ada 35, 36 dan seterusnya memberi perbezaan yang besar kepada well-being bayi yang dilahirkan. Oleh sebab itulah, ditambah pula dengan kekurangan kajian saintifik dari segi safety & efficiency bagi menyokong pandangan tersebut (pengambilan habbatussauda selepas minggu ke-36 dalam dos kecil), ibu hamil harus sentiasa berhati-hati jika ingin mengamalkan habbatussauda (bukan sahaja habbatussauda tetapi sebarang persediaan herba yang lain), apatah lagi mengambil kira cirinya yang menggalakkan pengecutan rahim.

Walau apapun, pendapat ini tidak menidakkan kebaikan habbatussauda kepada kesihatan melainkan hanya perlu mengambil kira keadaan yang bersesuaian seperti kehamilan ataupun tidak. Pandangan ini juga tidak menghalang amalan pengambilan habbatussauda di kalangan individu yang tidak mengandung, baik lelaki mahupun perempuan, malah amat digalakkan penggunaannya secara istiqamah (dos kecil/sederhana dan berterusan) bersesuaian dengan hadis Rasulullah berkenaan habbatussauda iaitu;


"Gunakanlah habbatus sauda' kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat dari segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut)" (HR. Bukhari, Muslim).


Nota: Informasi yang dipaparkan tidak bertujuan untuk memberi nasihat profesional melainkan hanya perkongsian peribadi semata-mata. Sentiasa rujuk kepada doktor atau pakar kesihatan sebelum menggunakan apa-apa persediaan herba dan ubat semasa kehamilan dan penyusuan susu badan.


Rujukan:

1. Acute and chronic toxicity of Nigella sativa fixed oil. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11924767

2. Black Seed (Nigella sativa): A cure for every disease (March 14, 2010). http://www.islamweb.net/emainpage/index.php?page=articles&id=157049

3. Side Effects of Nigella sativa (Jan 4, 2011). http://www.livestrong.com/article/349064-side-effects-of-nigella-sativa/

4. Hadis Shahih al-Bukhari, no. 5687.



No comments:

Post a Comment